Friday, 3 June 2011

lumrah dunia


Aku seperti mampu rasakan dengan perubahan iklim kehidupan yang sedang mengalami proses kemarau ini. Gelojak jiwa mereka yang kecewa, sedih dan derita terpancar melalui riak wajah yang sememang tidak mampu untuk disembunyikan akibat bahang masalah dan beban yang tidak mampu ditahan. Terasa rindu pula dengan kesenangan dan keselesaan yang dahulu sering melayani diri tika bunga hatinya mekar.
Sememangnya lumrah dunia ini begitu, segalanya berputar dan berpusing ibarat roda. Musimnya sentiasa silih berganti. Angin pun bukan sentiasa bertiup ke Utara, adakalanya akan bertukar arah ke Selatan, Barat mahupun Timur. Apatah lagi manusia yang mempunyai Iman yang rapuh, pancaroba dunia ini lebih bijak memanipulasi perasaan kita berbanding kita sendiri yang diberi akal ini.
Sahabat,
Manakan hendak dinikmati kesenangan kalau tiada ujian dan cabaran. Kebahagiaan itu menjadi fitrah manusia untuk sentiasa dan cuba mendapatkannya, tetapi harga yang perlu dibayar adalah mahal. Ibarat sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. Bukan senang untuk kita merasai nikmat Iman dan Islam ini kalau tanpa Rasulullah S.A.W. berusaha gigih sehingga sanggup berkorban jiwa raganya. Maka mengapa kita tidak mengambil iktibar daripadanya untuk diaplikasikan sepanjang hidup kita ?
Syukur
Kita sering mengeluh dan mengomel. Bosan mendepani masalah hidup yang tiada pengakhiran. Jemu dengan usaha yang awalnya bertunjangkan segunung harapan namun berputus asa dengan kegigihan yang tiada keberhasilan. Akhirnya kita duduk termanggu di pinggiran merenung hari-hari mendatang yang akan dijalani dengan kemurungan.
"Nikmat mana lagikah yang hendak kau dustakan." 

1 comment: